Kanta Sentuh: Jaga-jaga Mata Anda! – Dr. Anis Farhad

    Anda memakai kanta sentuh? Ada bermacam jenis kanta sentuh yang terdapat di pasaran kini kan? Semuanya cantik-cantik. Saya merupakan juga seorang pemakai kanta sentuh yang tegar. Bukan sebab nak cantik ke, atau tujuan kosmetik ke, tapi sebab power mata saya sangat tinggi. Jadi bagi saya pemakaian kanta sentuh sangat memudahkan, jika saya memakai cermin mata, kantanya sangat tebal dan saya merasa kurang selesa. Saya suka pakai yang kosong, ataupun yang berwarna hazel. 


     Saya mula memakai kanta sentuh selepas saya menamatkan sekolah menengah dan semasa di universiti, saya aktif bersukan dan meyertai aktiviti  kolej. Terima kasih kepada penciptaan kanta sentuh, ia memudahkan pergerakan saya semasa bersukan dan cermin mata saya tak lagi patah-patah akibat bersukan.


     Namun kanta sentuh, punya cara penjagaannya. Saya jemput baca artikel yang ditulis oleh Dr.Anis Farhad ini untuk mereka yang suka memakai kanta sentuh. Semoga bermanfaat.


Kanta Sentuh: Jaga-jaga Mata Anda! – Dr. Anis Farhad


     Sukar untuk saya percaya apa yang saya dengar daripada ibu saya – adik perempuan saya baru membeli sepasang kanta sentuh berwarna biru. “Tapi, adik tak perlukan cermin mata pun!” bentak saya. “Ini trend terbaru! Semua remaja pakai macam ini sekarang!”adalah alasan yang diberikannya.
Sudah ramai pesakit yang saya jumpa hampir kehilangan deria penglihatan disebabkan oleh pemakaian kanta sentuh. Oleh itu, wajarlah penentangan saya terhadap keputusan adik saya. Sentimen ini malangnya tidak difahami oleh adik saya yang begitu gilakan fesyen. Kanta sentuh yang dahulunya merupakan sebuah inovasi yang meledakkan industri teknologi optik kini hanyalah satu lagi aksesori kecantikan. 

       Di era moden ini, inovasi okulus ini menjadi alat fesyen yang digunakan sewenang-wenangnya. Maka, komplikasi melibatkan pemakaian kanta sentuh menjadi senario lazim di klinik-klinik optalmologi. Kes-kes ini termasuklah masalah yang mudah ditangani seperti mata kering sehinggalah yang lebih parah seperti perforasi (kecederaan melibatkan penembusan struktur) mata yang memerlukan ‘pembuangan’ mata.

     Jika anda memakai kanta sentuh sebagai keperluan, saya cadangkan anda baca dan fahami risiko berkenaan pemakaian kanta sentuh. Walaupun ia boleh didapati di mana-mana, pembeli kanta sentuh jarang diberikan kaunseling mengenai cara penggunaan kanta sentuh yang selamat.

    Bagaimanakah kanta sentuh boleh menyebabkan jangkitan dan membahayakan penglihatan? Kanta sentuh sebenarnya boleh menyebabkan jangkitan pada struktur lutsinar mata yang dinamakan kornea. Jangkitan pada kornea dipanggil ‘keratitis’. Sebutkan sahaja istilah ini bila anda di klinik mata, pasti doktor anda akan kagum dengan pengetahuan optalmologi anda. Jangkitan ini jarangkali berlaku andainya anda mengamalkan tabiat pemakaian dan penjagaan kata sentuh yang baik. Walaupun begitu, dengan teknik pemakaian yang salah, anda akan menghadapi risiko hakisan pada permukaan kornea yang akan membolehkan organisma seperti bakteria menjangkiti mata anda. Melalui hakisan-hakisan ini, organisma boleh masuk ke dalam kornea dan menyebabkan jangkitan dan kemudiannya, ulser.

    Kadang kala, kanta sentuh boleh menjadi tempat pembiakan organisma yang boleh ‘mengorek’ masuk ke dalam kornea anda walaupun anda memakainya dengan cara yang betul. Jadi, bagaimanakah caranya untuk mengurangkan risiko jangkitan ini?

Masa tidur
Anda baru pulang selepas seharian bekerja. Badan anda lenguh-lenguh dan anda benar-benar kepenatan. Anda malas untuk menukar pakaian dan terus ke katil untuk melelapkan mata di atas bantal empuk anda. Tidak mengapa kalau anda tidak mahu menukar pakaian dan berbaring dengan badan anda yang melekit dek peluh. Namun, TIDAK menanggalkan kanta sentuh anda sebelum tidur adalah satu tindakan yang TIDAK bijak. Tidur bersama kanta sentuh boleh menambah risiko jangkitan pada kornea. Secara teorinya, gabungan bahan cemar yang terdapat pada kanta sentuh dan kekurangan bekalan oksigen pada kornea apabila kelopak mata ditutup menyumbang kepada peningkatan risiko jangkitan. Peraturan asasnya, kanta sentuh tidak patut dipakai melebihi 10-12 jam sehari.

Ketika berenang
Anda di sebuah parti tepian kolam renang. Rakan anda tidak habis-habis memuji kecantikan anda dengan kanta sentuh hijau yang begitu padan dengan pakaian renang anda. Anda rasa begitu gembira dapat memperagakan gaya dan fesyen anda. Kemudian, tanpa berfikir panjang, anda pun terjun ke dalam kolam renang untuk menikmati air yang sejuk dan menyegarkan. Ini adalah satu tindakan yang kurang bijak. Kolam renang, malahan air paip, mengandungi pelbagai mikroorganisma. Berenang dengan kanta sentuh anda samalah seperti menjemput organisma-organisma berbahaya ini untuk berparti di dalam mata anda.

Kebersihan
Kebersihan adalah amat mustahak dalam pemakaian kanta sentuh.
  1. Jangan pakai kanta sentuh anda di dalam bilik mandi. Bilik mandi selalunya lembap dan basah, tempat pembiakan yang sangat optimum bagi mikroorganisma.
  2. Jangan pakai kanta sentuh selepas membasuh tangan. Pelik bukan? Acanthmoeba, organisma penyebab jangkitan kornea, boleh dijumpai di dalam air paip. Titisan-titisan air yang tidak dikeringkan daripada tangan anda mungkin mengandungi organisma ini. Oleh itu, pastikan anda keringkan tangan anda sebelum mengendalikan kanta sentuh anda!
  3. Jangan basuh kanta anda dengan air paip atas sebab yang telah diterangkan di atas. Keluarkan duit simpanan anda, pergi ke farmasi dan dapatkan cecair pencuci kanta sentuh. Sewaktu membersihkan kanta sentuh anda, pastikan anda gosokkan kanta tersebut dengan telapak tangan untuk menanggalkan kotoran yang mungkin melekat pada kanta. Merendam kanta anda dengan cecair tersebut tidak mencukupi untuk membersihkannya.
Dan tolonglah, jangan kumpul dan simpan cecair pencuci kanta sentuh dan menggunakannya semula buat kali kedua dan ketiga. Jangan gunakan cecair terpakai untuk menyimpan kanta sentuh anda dalam bekasnya juga. Buangkan sahaja cecair pencuci selepas digunakan dan tuangkan cecair baru ke dalam bekas apabila mahu menyimpan kanta sentuh anda. Walaupun saya memuji semangat anda dalam menyahut kempen kitar semula, janganlah melibatkan kebersihan kanta sentuh anda dalam usaha anda mengitar semula.

Adakah saya terkena jangkitan kornea?

Pokoknya, jika mata anda merah, sakit dan tidak selesa secara berterusan ketika atau selepas menggunakan kanta sentuh, anda perlu berhenti daripada terus memakai kanta anda. Antara gejala-gejala lazim jangkitan aktif adalah mata menjadi kemerahan dan sakit, fotofobia (alah terhadap cahaya terang) dan penglihatan menjadi kabur. Kalau simptom anda menjadi lebih teruk, pastikan anda lekas-lekas berjumpa dengan pakar optalmologi yang terdekat untuk rundingan dan rawatan.
Demi mata anda, tinggalkanlah fesyen dan kecantikan. Pilihlah cermin mata tebal anda berbanding kanta sentuh; bukankah penglihatan anda lebih berharga berbanding gaya dan trend?

Dr. Anis Farhad ialah seorang pakar optalmologi yang kini berkhidmat di Sabah. Dia percaya yang orang ramai perlu diberi kesedaran tentang penjagaan mata yang betul. Artikel ini telah diterjemahkan oleh Dr Maimun daripada artikel asalhttp://www.mmgazette.com/contact-lens-beware-your-eye-wear-dr-anis-farhad/

Terima kasih kerana sudi singgah 

Boleh buat tempahan vitamin-vitamin Shaklee dengan  menghubungi saya di 019-6154956 .Jika memerlukan sebarang konsultasi, hubungi 019-6154956. Konsultasi percuma.

Khairani Bahaudin
Shaklee Id 866293
019-6154956 

0 comments:

Post a Comment